Header Ads

Smiley face

Perluas peranan Jabatan Imigresen


TELOK KEMANG 22 Okt. – Peranan Jabatan Imigresen perlu diperluaskan berikutan ancaman dan cabaran yang semakin besar serta meluas dihadapi oleh jabatan itu terutamanya di pintu masuk negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peranan jabatan itu kini tidak lagi boleh dilihat tertumpu kepada kaunter untuk membuat atau memperbaharui pasport semata-mata.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sebalik­nya, para pegawai dan kakita­ngan jabatan itu adalah barisan hadapan yang menghalang sempadan negara daripada dibolosi oleh sebarang anasir negatif yang mengancam keselamatan negara.

"Ancaman dan cabaran ter­utamanya di pintu masuk darat, udara dan laut serta lorong tikus yang telah menjadi lorong gajah tentu tidak mampu dibuat oleh imigresen sahaja tetapi memerlukan kerjasama polis, tentera dan pihak berkaitan.

"Peranan ini boleh diperluaskan dengan pindaan kepada Akta Imigresen yang akan mencakup beberapa bidang lain yang selama ini tidak ada dalam akta," kata­nya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Penolong Penguasa Imigresen Siri 2 Tahun 2016 di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM), Port Dickson, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setia­usaha Kementerian Dalam Ne­geri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Menurut Ahmad Zahid, pindaan kepada akta tersebut membolehkan kuasa jabatan itu diperluaskan selain melengkapkan ia dengan aset-aset yang moden dan canggih.

Beliau menarik perhatian, di beberapa negara lain, jabatan imigresen diletakkan di bawah kementerian tersendiri seperti Australia yang diketuai oleh seorang menteri.

"Saya fikir tidak semestinya Jabatan Imigresen di sini harus keluar daripada naungan KDN (Kementerian Dalam Negeri) tetapi peranannya diperluaskan dengan pindaan kepada Akta Imigresen," ujarnya.

Dalam majlis tersebut, seramai 95 orang pelatih terdiri daripada 39 orang lelaki dan 56 orang wanita yang menjalani latihan sejak 19 September lalu berjaya menamatkan kursus dan mula bertugas Isnin ini.

Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Platun Terbaik, Anugerah Kadet Akademik Terbaik dan Anugerah Kadet Kese­luruhan Terbaik kepada para pe­nerima dalam majlis itu.

Beliau memberitahu, Kursus Asas Imigresen akan dilanjutkan kepada enam bulan berbanding 34 hari ketika ini dengan memberi penekanan kepada aspek disiplin dan kerohanian.

No comments

Powered by Blogger.