JPN, PDRM lancar integrasi sistem permit mengubur
PUTRAJAYA 4 Okt. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan satu integrasi sistem baharu bagi mempercepatkan proses pendaftaran kematian di seluruh kawasan di Semenanjung yang dilaporkan di balai polis.
NUR JAZLAN MOHAMED
|
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, menerusi sistem yang dikenali sebagai integrasi sistem permit mengubur pendaftaran kematian PDRM dan JPN itu, setiap laporan tentang kematian dan pengeluaran permit mengubur dapat dipermudahkan.
“Melalui sistem sedia ada, pemaklum yang hadir untuk melaporkan kematian di balai polis perlu mengisi borang disediakan, kini apabila integrasi sistem ini dilaksanakan maklumat berkaitan kematian tersebut akan terus dimasukkan ke dalam sistem oleh pihak polis.
“Sejurus itu, pihak balai polis akan mengeluarkan dokumen permit mengubur dan resit sementara daftar kematian kepada pemaklum yang datang memaklumkan kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara di sini.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan tidak sensitif sembilan lelaki warganegara Australia yang telah menghina dan mengaibkan bendera Jalur Gemilang ketika perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang, Ahad lalu, beliau meminta supaya rakyat asing yang melancong ke sini menghormati adat dan budaya masyarakat setempat
Beliau berkata, perbuatan biadab seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE
No comments