Sah rakyat Malaysia ditahan di Filipina
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang individu ditahan oleh pihak berkuasa Filipina di sebuah pelabuhan di Pekan Maluso baru-baru ini adalah rakyat tempatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek lelaki berkenaan ditahan ketika cuba menyelusup masuk ke negara ini.
"Ya, saya mengesahkan dia adalah rakyat Malaysia berasal dari Kelantan dipercayai penyokong kumpulan pejuang di Selatan Filipina.
"Mereka (pihak berkuasa Filipina) dakwa kononnya suspek adalah pakar pembuat bom. Saya tidak tahu mengenainya. Itu adalah dakwaan berdasarkan laporan pihak berkuasa negara berkenaan.
"Siasatan dilakukan di bawah bidang kuasa pihak ketenteraan Filipina," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Pencegahan Penyeludupan Dadah 2016, di Maktab PDRM, di sini, sebentar tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Sebelum ini, media Filipina melaporkan Komander Briged Infantteri ke-104, Kolonel Cirilo Donato memaklumkan pihaknya menahan seorang rakyat Malaysia di Pelabuhan Maluso ketika cuba menyelusup masuk ke Malaysia, awal bulan ini.
Manurut laporan itu, pihak berkuasa negara berkenaan turut melakukan siasatan sama ada suspek diberi latihan oleh tentera Abu Sayyaf kerana ketika ditahan pihaknya turut menemui bahan membuat bom.
http://www.hmetro.com.my/node/177141
No comments